Tuesday, November 3, 2009

Penangkapan Dr. Asri : Kemuncak sebuah kekeliruan

Penulis : Sahabat Insaf

Saya cuba menahan diri daripada menulis isu-isu agama yang berat terutama berkaitan pertembungan Wahabi Vs Ahlus sunnah wal jamaah memandangkan kepakaran saya bukanlah pada bidang agama. Apabila memperkatakan tentang isu penangkapan Dr Asri memang tidak dapat dielakkan mengulas sedikit sebanyak isu ini. Saya akan cuba berhati-hati menulis agar tiada sebarang pihak terasa akan kepedasan penulisan ini. Lebih baik tersalah bicara dalam bab dunia daripada bab agama.

Secara amnya, pertembungan Wahabi Vs Ahlus sunnah hanyalah berlingkar perdebatannya di kalangan alim ulama dan amat jarang orang biasa/awam seperti saya mendapat inti terhadap isu-isu yang diperdebatkan. Ibarat melihat masalah dalaman rumah jiran sendiri yang bergaduh suami isteri ... kita hanya tahu sedikit sebanyak tentang isi pergaduhan mereka akibat jerit-pekik, balingan periuk, pinggan mangkuk dan selebihnya hanya lebih kepada spekulasi dan andai-mengandai.

Saya seperti orang awam yang lain dibesarkan dengan fahaman ahlus sunnah yang bermazhab syafie di Malaysia. Kami diajar ada 4 mazhab ahlus sunnah dan semuanya benar cuma terdapat sedikit sebanyak perbezaan yang tidak membawa kepada perbezaan akidah. Sifat 20 menjadi asam garam dalam pengajian ini. Kami bersangka baik dengan semua ustaz dan ustazah yang mengajar dan tidak pernah menyelidik sama ada yang diajar itu ada unsur Wahabi atau tidak.

Maklumlah, Wahabi pun tak kenal sangat. Ketika mula-mula bekerja di Kuala Lumpur, atas ajakan rakan, saya mengikuti sebuah pengajian agama yang dikatakan bersandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mula-mula belajar memang seronok sebab asyik menelaah hadith dan ayat Al-Quran secara terus. Tetapi lama kelamaan saya menjadi kurang enak apabila ustaz-ustaz di situ seolah-olah tidak menghargai perbezaan pendapat dan mula mengatakan orang itu tak betulla orang ini tak betulla.. Termasuk yang ditakbetulkan adalah ulama yang tersohor.

Kemuncak daripada rasa 'kurang enak' ini adalah apabila mereka mensyirikkan amalan selawat Syifa' dan Tafrijiyyah. Mereka mula berbincang pasal tangan, kaki, dan wajah Tuhan...Mereka mula membidaahkan amalan Qunut dan berbincang hal remeh temeh tentang amalan umat Islam yang sudah dinoktahkan perdebatannya oleh ulama-ulama terdahulu. Dipendekkan cerita setelah 6 bulan belajar secara Wahabi, Allah menarik saya daripada pengajian tersebut dengan satu surat perpindahan syarikat ke Melaka. Ilmu selama 6 bulan itu saya gunakan sebaik mungkin untuk mengenal siapa itu Wahabi yang sering diperkatakan.

Saya mula membeli sebuah buku bertajuk ' Hanya Tuhan Mengenal Tenteranya' karya Khaled Abou El Fadl yang membicarakan kemelut fahaman Wahabi yang melanda umat Islam. Untuk mendapatkan pandangan yang tidak berat sebelah saya membeli juga buku-buku terjemahan karangan tokoh-tokoh Wahabi seperti Ibnu Taimiyah, Ibn Qoyyim dan Muhammad Bin Abd. Wahab. Buku kontroversi tentang solat 'Pelik Tapi Benar' juga saya beli sejurus mendapat tahu buku itu diharamkan KDN atas faktor kewahabian.

Dipendekkan cerita, setelah kajian peribadi yang dilakukan dengan agak mendalam saya akhirnya menoktahkan fahaman Wahabi adalah satu fahaman yang mengelirukan dan berpegang kepada fahaman 4 mazhab Ahlus sunnah adalah jalan selamat yang perlu dipilih oleh setiap umat Islam.

Tujuan saya menulis bukanlah untuk mendebatkan hasil kajian saya atau berdebat tentang Wahabi- Ahlus Sunnah kerana terlebih awal saya memberitahu saya bukanlah pakar agama, tetapi untuk menyatakan bahawa terdapatnya ruang kelemahan di kalangan orang awam dalam memahami tentang kepincangan fahaman Wahabi ini terutama daripada sudut ilmiah. Kebanyakkan perdebatan di internet misalnya lebih kepada perdebatan 'suami-isteri' yang mana sangat sulit untuk orang awam memahami secara mendalam inti perdebatan tersebut. Mereka bercakap bahasa-bahasa yang terlalu 'tinggi' yang hanya layak difahami oleh orang-orang yang mengkhususi bidang agama. Ibarat saya menggunakan istilah-istilah kejuruteraan kepada pelajar jurusan perubatan.

Lebih teruk lagi medan perdebatan dicemari dengan adegan lepas geram, tuduh-menuduh, caci maki, carut marut dan seumpamanya yang akhirnya menjauhkan masyarakat daripada perbahasan ilmiah. Taiplah isu wahabi di Google dan anda akan mendapati 70% perdebatan di laman web hanyalah berupa kata-kata makian. Hanya 30% sahaja yang betul-betul 'ikhlas' memahamkan orang awam akan bahayanya fahaman Wahabi ini. Apabila tidak ikhlas berdebat, anda hanya akan menyebabkan orang yang salah menjadi 'hero' di mata orang lain.

Persepsi 'hero' ini jugalah yang menghantui kes penangkapan Dr. Asri... Ditangkap secara kurang profesional dan pertuduhan yang gagal dihadapkan kepadanya secara jelas sedikit sebanyak memang meletakkan kedudukan Dr. Asri sebagai 'hero' di mata masyarakat. Manakan tidak daripada menteri, ahli politik semuanya turun memberikan kata-kata semangat kepadanya. Di sini, JAIS adalah pihak yang salah dan Dr. Asri adalah 'hero'.... Saya tiada komen tentang perkara ini... hanya diam membisu.

Memanglah 'ikhlas' itu perkara hati... tetapi tiada salah untuk kita nasihat menasihati agar ikhlas itu membenam di sanubari memancar daripada segenap laku yang kita lakukan agar cahaya yang disuluh boleh memberi jalan bukan menyilaukan.

Ikhlas daripada Sahabat Insaf... berdoalah kepada Allah dengan hati yang ikhlas agar ditunjuki jalan yang benar.


5 comments:

  1. Saya pernah dengar tentang mensyirikkan amalan selawat Syifa' dan Tafrijiyyah dari mulut orang yang ditangkap oleh JAIS ini melalui tv ASTRO.

    ReplyDelete
  2. oo..kiranye wahabi ni pahaman salah la,ye?

    tp nape plak Dr.Mashitah kata benda tu tak salah?

    Ok.sbnrnye ape yang salah/menyimpang wahabi ni berbanding ajaran Islam sbnr?siyes tak paham..huhu

    ReplyDelete
  3. Selawat syifa ini dah difatwakan syirik pun di Perlis.. Sebenarnya Selawat Syifa dan Tafrijiyah ini adalah karya hati ulama-ulama silam yang terbit akibat cinta yang mendalam kepada Rasulullah. Begitu senang nak kata orang syirik? Ulama-ulama dulu lebih dekat dengan nabi, lebih banyak ilmu mereka, adakah sebegitu mudah mereka nak mensyirikkan Allah? Kita yang lebih jauh drpd Rasullullah dan lebih kurang ilmu ni senang2 nak syirikkan mereka.

    Buatla kajian peribadi secara ikhlas insyaAllah bertemu kebenaran.. Nanti kalau saya cakap takut nanti kata saya tak layak dan pulak nanti tiba-tiba pulak jadi perdebatan di sini.. itu saya taknak. Lebih baik saya elakkan perdebatan dan kita bebas untuk tidak bersetuju. Apapun saya kurang bersetuju dengan cara penangkapan yang kurang professional oleh JAIS. Masih ada cara yang lebih molek daripada menjatuhkan maruah orang mcm tu.

    ReplyDelete
  4. Biarlah kita dapatkan maklumat seimbang di sebalik peristiwa penangkapa Dr. MAZA. Apakah benar JAIS kurang profesional dalam tindakannya atau sebenarnya dijadikan mangsa putarbelit dan publisiti Dr. MAZA dan penyokongnya yang menggunakan media dan kabel politik?. Siapa yang kerahkan media? Benarkah Dr. Asri dibiarkan menunggu berjam-jam di mahkamah untuk didakwa? Elok kita tanya orang JAIS dan Ustaz Zamihan sendiri untuk mengetahui kronologi penangkapan dan peristiwa di mahkamah syariah keesokan harinya.

    ReplyDelete
  5. Hmm betul.. kalau ada apa2 maklumat silalah kongsikan dengan saya.. Apa2 pun bagi ahli2 ilmu silalah berusaha untuk mencari method terbaik bagi memahamkan orang awam akan bahaya dan kepincangan wahabi ni.. Jangan sekadar faham dan syok sendiri sesama ahli. Cuba tumpukan lebih kepada bab akidah sebab wahabi ni patut ditentang daripada sudut akidah terutamanya. Saya rasa masih belum terlambat sebab wahabi ni masih minoriti di Malaysia. Tapi kalau mereka lagi cepat dengan cara mengusai pemerintahan mmg susahler.. Terfikir juga apakah method ulama2 dahulu dalam menghadapi puak-puak wahabi ni?

    ReplyDelete

Iklan